
‘Hype Boy’ Milik NewJeans Diiktiraf Sebagai Salah Satu Lagu Terbaik Abad Ke-21 Oleh Rolling Stone
Berita gembira terus mengiringi kumpulan sensasi K-Pop, NewJeans, apabila lagu popular mereka ‘Hype Boy’ telah disenaraikan sebagai salah satu lagu terbaik abad ke-21 oleh majalah muzik terkemuka antarabangsa, Rolling Stone.
Menurut senarai ‘250 Lagu Terhebat Abad Ke-21’ (The 250 Greatest Songs of the 21st Century So Far) yang dikeluarkan oleh Rolling Stone pada 8 Mac lalu (waktu tempatan), ‘Hype Boy’ berjaya menduduki tempat ke-206.
Rolling Stone menyifatkan ‘Hype Boy’ sebagai sebuah lagu yang berjaya menyampaikan budaya generasi muda dan debaran cinta monyet dengan daya tarikan yang cukup kuat. Majalah itu turut memuji, ‘Hype Boy’ mempamerkan gabungan bunyi yang segar dan moden dengan sentuhan retro. Kelima-lima anggota NewJeans berjaya menampilkan harmoni vokal yang indah disamping menyerlahkan keunikan suara masing-masing dalam tempoh lagu yang kurang dari tiga minit.
‘Hype Boy’ merupakan lagu debut NewJeans yang menggabungkan genre Moombahton dan Electropop, menghasilkan bunyi yang segar dan stailo. Sejak dilancarkan pada Ogos 2022, lagu ini terus meletup di carta muzik domestik dan antarabangsa, mencipta fenomena global. ‘Hype Boy’ kini telah mencatatkan lebih 700 juta strim di Spotify dan masih kekal berada dalam carta muzik utama di Korea, membuktikan populariti yang berterusan.
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa bangga dan gembira atas pengiktirafan ini. Mereka memuji bakat NewJeans yang bertaraf dunia dan bersetuju bahawa ‘Hype Boy’ sememangnya layak mendapat pujian tersebut. Ada juga yang gembira kerana lagu kegemaran mereka mendapat pengiktirafan antarabangsa.