
Ku Hye-sun Cipta Fenomena, Jadi Model Produk 'Ku-Roll' Hasil Ciptaannya Sendiri!
Pelakon terkenal Ku Hye-sun kembali mencuri tumpuan, bukan hanya kerana kecantikannya yang tidak pudar malah kebolehan inovatifnya apabila beliau tampil sebagai model untuk produk penggulung rambut (hair roller) yang dibangunkan sendiri dan kini telah pun mendapat paten.
Pada 8 Mac lalu, Ku Hye-sun menerusi laman media sosialnya telah berkongsi sekeping gambar bersama kapsyen "Model penggulung rambut Ku-Roll ♥". Dalam foto tersebut, beliau kelihatan santai berbaring di atas katil sambil memakai penggulung rambut rata ciptaannya, mempamerkan wajah jelita persis anak patung.
Dalam satu temubual bersama 'Korea Invention Promotion Association KIPA', Ku Hye-sun menceritakan latar belakang penciptaan produk tersebut. "Saya perasan rakan-rakan saya sering memakai penggulung rambut. Jadi saya terfikir, 'Walaupun tak berjaya, apa kata kita cuba lekatkan pada casing telefon?' Begitulah ia bermula."
Beliau turut menyentuh isu penggulung rambut sedia ada. "Bila guna penggulung rambut, ia mudah tertanggal dan melekat pada pakaian. Saya pernah lihat kesilapan seperti itu di majlis-majlis tayangan perdana. Dari situ, saya terfikir, 'Mengapa tidak bolehkah ia dilipat dan dilekatkan?'" Kongsinya mengenai idea di sebalik penciptaan itu.
Namun, Ku Hye-sun mempamerkan sikap rendah diri mengenai ciptaannya. "Saya rasa ini lebih kepada penemuan dalam kehidupan seharian, bukan satu ciptaan yang terlalu hebat," ujarnya.
Beliau turut berkongsi impian masa depannya. "Apabila saya sudah tua nanti, jika cucu saya memakai penggulung rambut ciptaan saya, dan saya memberitahunya, 'Itu saya yang cipta', pasti kelakar," katanya sambil tersenyum.
Transformasi Ku Hye-sun tidak terhenti di situ. Beliau kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Kewartawanan Sains di KAIST. Malah, pada Mac lalu, beliau telah dianugerahkan paten bagi produk 'penggulung rambut rata' hasil kolaborasinya dengan seorang profesor di KAIST.
Bulan lalu, beliau sekali lagi menjadi bualan apabila mengumumkan permulaan kerjayanya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat baru, membuktikan pelbagai bakatnya sebagai pelakon, pereka cipta, dan usahawan – 'kepelbagaian gaya Ku Hye-sun'.
Inovasi praktikal yang menyelesaikan masalah harian, sikap merendah diri, dan cabaran yang berterusan. Keistimewaan yang ditonjolkan oleh Ku Hye-sun lahir dari 'penemuan dalam kehidupan seharian', bukan sekadar kemewahan.
Rata-rata netizen Korea memuji keupayaan serba boleh Ku Hye-sun. Ramai yang meninggalkan komen seperti "Bukan sahaja pelakon hebat, malah pereka cipta yang bijak!", "Memang Ku Hye-sun lah, tak pernah berhenti tingkatkan diri" dan "Saya teringin nak cuba penggulung rambut yang dia cipta itu."