
TWICE Sambut Ulang Tahun Ke-10 Dengan Album Khas 'TEN: The Story Goes On' & Single 'ME+YOU'
Kumpulan sensasi K-Pop, TWICE, bakal meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan mereka dengan pelancaran album khas berjudul 'TEN: The Story Goes On' pada 10 Oktober.
Album istimewa ini turut disertai dengan lagu utama baharu, 'ME+YOU', yang dipersembahkan sebagai tanda penghargaan tulus buat peminat mereka, ONCE, yang telah memberikan sokongan padu sepanjang satu dekad.
'TEN: The Story Goes On' melambangkan kesinambungan naratif TWICE yang bermula dari album debut mereka, 'THE STORY BEGINS' pada tahun 2015, dan kisah itu masih terus berlanjutan sehingga kini, di ambang ulang tahun ke-10.
Lagu 'ME+YOU' adalah sebuah gubahan R&B Pop dengan melodi yang menarik serta rentak yang segar. Liriknya yang menyentuh hati menyampaikan janji persahabatan abadi antara ahli-ahli TWICE sesama mereka dan juga buat peminat ONCE.
Menariknya, setiap ahli turut menyumbang idea kepada lirik lagu bagi menyuntik elemen keikhlasan. Kenzie, penerbit K-Pop terkenal, turut terlibat dalam penulisan lirik dan komposisi, menjana sinergi muzik yang mengagumkan.
Album ini memuatkan 10 buah lagu, termasuk lagu utama 'ME+YOU' dan lagu-lagu solo daripada kesemua sembilan ahli: 'MEEEEEE (NAYEON)', 'FIX A DRINK (JEONGYEON)', 'MOVE LIKE THAT (MOMO)', 'DECAFFEINATED (SANA)', 'ATM (JIHYO)', 'STONE COLD (MINA)', 'CHESS (DAHYUN)', 'IN MY ROOM (CHAEYOUNG)', dan 'DIVE IN (TZUYU)'.
Selain itu, TWICE baru-baru ini mengumumkan lokasi tambahan untuk jelajah dunia keenam mereka, '<THIS IS FOR>'. Jelajah ini telah mencipta fenomena baharu dalam industri konsert dengan rekaan pentas 360 darjah yang inovatif. Jelajah ini akan diperluaskan ke Taipei, Amerika Utara, Eropah dan banyak lagi, melibatkan 63 persembahan di 42 lokasi di seluruh dunia, menjadikannya jelajah dunia terbesar mereka.
TWICE terus membuktikan status mereka sebagai 'Global Top Girl Group' dengan prestasi yang konsisten walaupun genap sedekad. Album khas ini akan dilancarkan pada jam 1 petang (KST) pada 10 Oktober. Seterusnya, satu sesi fan meeting bertajuk '10VE UNIVERSE' akan diadakan pada jam 5 petang (KST) pada 18 Oktober di Korea University Hwajeong Gymnasium.
Netizen Korea rata-rata mengucapkan tahniah kepada TWICE sempena ulang tahun ke-10 mereka dan memuji kejayaan berterusan kumpulan itu. Ramai yang teruja menantikan lagu solo ahli dan album khas ini.