
Pelakon Choi Hyun-wook Mohon Maaf Secara Rasmi Selepas Cuannya Melemparkan Bola Besbol Terlalu Laju Ke Arah Peminat Kanak-Kanak
Pelakon Choi Hyun-wook tampil membuat permohonan maaf secara rasmi selepas insiden yang mengundang kecaman berhubung lemparan bola besbolnya yang terlalu laju ke arah peminat kanak-kanak.
Kejadian berlaku pada 9 Ogos lalu, semasa perlawanan playoff KBO League antara SSG Landers dan Samsung Lions di Stadium SSG Landers, Incheon. Choi Hyun-wook dipilih sebagai pelempar pembukaan (Ceremonial First Pitch), manakala pemukul (Ceremonial Batter) adalah seorang peminat cilik.
Menurut laporan, ketika berada di atas padang, Choi Hyun-wook yang memakai cermin mata hitam dan kelengkapan sukan telah melontarkan bola dengan kekuatan yang tinggi. Bola tersebut hampir mengenai kepala kanak-kanak peminat itu, menyebabkan kedua-dua pihak kelihatan terkejut.
Walaupun Choi Hyun-wook sempat memberi hormat kepada penonton, dia didakwa tidak segera mendekati kanak-kanak tersebut untuk memohon maaf, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat bola sepak dan penonton.
Pada 10 Ogos, Choi Hyun-wook menerusi platform Bubble, mengakui rasa gementarnya menyebabkan bola terlepas dari genggaman. "Semalam saya sangat gementar sehingga bola terlepas. Saya akan menghubungi rakan kepada pemukul dan ibu bapanya untuk memohon maaf hari ini atau esok," ujarnya.
Beliau menambah, "Saya rasa sangat teruja kerana sudah lama tidak menonton perlawanan bola besbol secara langsung. Seharusnya saya perlu membaling bola dengan perlahan kepada kanak-kanak yang berdiri berdekatan, tetapi kerana gementar, saya tidak terfikir mengenainya. Saya benar-benar minta maaf."
Dalam pada itu, Choi Hyun-wook turut menitipkan pesanan kepada peminat, "Jika anda mahu mengkritik saya tentang fesyen atau perkara lain, ia tidak mengapa. Tetapi saya merayu agar tidak mengkritik pasukan yang saya gemari atau orang lain."
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa simpati atas kegugupan pelakon itu namun turut menegaskan bahawa tindakannya berbahaya. "Kenapa baling sekuat itu? Sangat berbahaya," komen seorang netizen. "Saya faham dia mungkin terkejut, tapi sepatutnya lebih berhati-hati."