
Kontroversi 'Love Your W': W Korea dituduh kelirukan jumlah derma dan menganjurkan acara mewah
Kempen kesedaran kanser payudara 'Love Your W' anjuran majalah W Korea kini menjadi topik hangat susulan persoalan mengenai kaedah penganjuran dan jumlah derma yang disalurkan.
Menurut data yang diperoleh oleh Ahli Parlimen Lee Su-jin daripada Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan Parlimen daripada Kementerian Kesihatan dan Kebajikan, jumlah kumulatif yang didermakan oleh W Korea kepada Yayasan Kesihatan Payudara Korea dari tahun 2007 hingga November tahun ini adalah sebanyak 315.69 juta won. Angka ini berbeza ketara dengan promosi '1.1 bilion won derma terkumpul' yang disiarkan oleh majalah tersebut.
W Korea juga gagal mendedahkan maklumat derma kepada pihak lain selain daripada yayasan tersebut, menimbulkan persoalan lanjut mengenai ketelusan. Rekod derma tahunan juga menunjukkan ketidakkonsistenan, dengan tiada rekod derma pada tahun 2008, 2009, dan dari 2017 hingga 2023.
Acara 'Love Your W 2025' yang diadakan pada 15 haribulan lalu di Hotel Four Seasons, Seoul, dihadiri oleh ramai selebriti dan influencer. Suasananya meriah dengan parti dan persembahan, namun terdapat kritikan bahawa mesej berkaitan kanser payudara agak kurang berbanding kemewahan acara tersebut.
Lebih-lebih lagi, persembahan lagu '몸매' (Mommae) oleh penyanyi Jay Park pada majlis sambutan selepas acara menimbulkan kontroversi mengenai kesesuaiannya. Lirik lagu tersebut mengandungi unsur-unsur yang menggambarkan fizikal wanita, yang didakwa tidak selari dengan tujuan asal kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.
Sehingga kini, W Korea masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu kontroversi ini.
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa kecewa dan mempersoalkan ketelusan W Korea. Pelbagai komen seperti 'Nampaknya mereka lebih fokus kepada imej berbanding tujuan kebajikan sebenar' dan 'Penganjuran grand tapi inti pati kempennya mana?'