
Highlight Nafi Dakwaan Bayaran Lumayan Untuk "Wanju K-Pop Festival"
Pada 30 Oktober, agensi Around Us Entertainment yang mengurus kumpulan Highlight mengeluarkan kenyataan rasmi bagi memperbetulkan maklumat yang disiarkan berhubung bayaran persembahan mereka di "Wanju K-Pop Festival".
Sebelum ini, penganjur festival tersebut mendedahkan bahawa Highlight bakal menerima bayaran sebanyak 165 juta won (sekitar RM560,000) untuk penampilan mereka, yang menimbulkan pelbagai persoalan.
Highlight melalui agensinya menegaskan, "Jumlah bayaran persembahan Highlight untuk acara ini adalah berbeza sama sekali dengan angka yang disiarkan di media sosial, dan kami telah menerima satu pembayaran deposit untuk persembahan tersebut."
Mereka turut menambah, "Walaupun acara itu dibatalkan atas sebab pihak penganjur, yang bukan berpunca daripada kami, pihak agensi perantara memohon bayaran balik separuh daripada wang pendahuluan. Atas dasar moral, kami telah memindahkan 50% daripada wang pendahuluan yang diterima, berjumlah 22 juta won (sekitar RM75,000), pada 13 Oktober."
"Kami juga sedar tentang isu penangguhan bayaran balik tiket kepada peminat dan sedang memantau situasi. Kami amat terkejut apabila maklumat yang tidak benar disebarkan seolah-olah ia adalah fakta. Kami akan berusaha sedaya upaya bagi mengelak sebarang kemudaratan yang tidak perlu kepada Highlight dan peminat akibat salah faham kontrak dan penyebaran maklumat palsu," tegas kenyataan itu.
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa simpati terhadap Highlight dan berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera.