
Lisa BLACKPINK Berubah Jadi Duyung Memukau Sempena Halloween!
Penyanyi antarabangsa yang juga ahli kumpulan K-pop sensasi, BLACKPINK, iaitu Lisa, sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila dia mempamerkan hasil cosplay Halloween yang cukup menakjubkan.
Pada 31 Oktober lalu, Lisa telah memuat naik beberapa keping gambar dan video menerusi akaun media sosial rasminya dengan kapsyen ringkas "Jibaro".
Dalam perkongsian tersebut, Lisa tampil dengan kostum yang diinspirasikan daripada watak duyung (Siren) daripada episod "Jibaro" dalam siri animasi Netflix, 'Love, Death + Robots' musim ke-3. Penampilannya yang keseluruhan dihiasi warna keemasan itu berjaya memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Keanggunan dan gerakan tarian Lisa yang mengikut lenggok watak duyung itu persis seperti yang digambarkan dalam siri tersebut, sekaligus membuktikan kehebatan dan bakatnya sebagai penari utama BLACKPINK.
Peminat antarabangsa turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan "Happy Halloween" berserta emoji hati, tanda mereka terpesona dengan kreativiti dan kecantikan Lisa.
Kini, Lisa sedang giat menjayakan jelajah dunia 'BORN PINK' bersama ahli BLACKPINK yang lain bagi bertemu dengan peminat di seluruh dunia.
Netizen Korea memuji usaha keras Lisa dalam menghasilkan cosplay yang begitu teliti dan realistik, malah mereka turut kagum dengan kecantikan semulajadi yang dimiliki Lisa. Rata-rata peminat antarabangsa menyifatkan ini sebagai antara cosplay Halloween terbaik tahun ini.