
Penyanyi Soyou Jelas Isu Dakwaan Diskriminasi Kaum di Pesawat, Terima Mohon Maaf dari Syarikat Penerbangan & Akan Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Penyebar Berita Palsu
Penyanyi terkenal Soyou tampil memberikan penjelasan mengenai isu yang tular baru-baru ini mengenai dakwaan beliau mengalami layanan diskriminasi kaum ketika dalam penerbangan bersama Delta Air Lines.
Melalui hantaran di akaun media sosial peribadinya, Soyou memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat permohonan maaf daripada Delta Air Lines berhubung insiden yang berlaku dalam penerbangan pulang ke tanah air.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang menunjukkan keprihatinan dan memahami situasi yang dilaluinya, serta memohon maaf kerana menimbulkan kebimbangan. Soyou menambah bahawa sokongan daripada peminat telah membantunya untuk kembali menjalani kehidupan harian.
Namun, Soyou mengakui bahawa khabar angin dan maklumat palsu mengenai insiden tersebut masih terus tersebar luas, mendorongnya untuk menulis penjelasan sekali lagi.
"Saya telah menerima permohonan maaf secara rasmi daripada pihak syarikat penerbangan berhubung isu yang berlaku, jadi saya tidak akan lagi menyebut mengenainya melalui saluran umum," kata Soyou.
Beliau menegaskan bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap sebarang spekulasi yang tidak berasas, penyebaran maklumat palsu, dan kenyataan yang bersifat menghina serta melanggar hak peribadi.
Soyou sekali lagi memohon maaf kerana terpaksa terus menerus menulis mengenai perkara yang tidak menyenangkan, namun berjanji akan memperbetulkan apa yang perlu diperbetulkan. Beliau menutup kenyataan dengan harapan untuk membawa perkhabaran yang lebih menggembirakan pada masa hadapan.
Rata-rata netizen Korea memberikan sokongan kepada Soyou dalam menangani penyebaran berita palsu. Komen seperti "Baguslah ambil tindakan tegas begitu" dan "Soyou, sila kekal kuat dan jangan hiraukan mereka yang menyebarkan cerita tak benar" turut kedengaran.