
Momo (TWICE) Berjaya Miliki Rumah Mewah Bernilai RM16 Juta Di Kawasan Elit Baru
Berita sensasi di arena hartanah Korea Selatan apabila Momo, salah seorang anggota dari kumpulan K-pop terkenal TWICE yang berasal dari Jepun, dilaporkan telah membeli sebuah kediaman mewah di Kampung Archil, bandar Guri, Wilayah Gyeonggi – sebuah kawasan yang semakin pesat membangun sebagai destinasi elit baharu.
Menurut dokumen pendaftaran tanah yang diperoleh pada 1 September, Momo telah membeli sebuah banglo mewah di projek Arcadia Signature berkeluasan 221 meter persegi pada 23 Ogos lalu, dengan nilai RM16.2 juta (4.27 bilion won). Urusan pembayaran penuh dan pemindahan hak milik diselesaikan pada hari yang sama. Tiada sebarang cagaran atau pinjaman didaftarkan, menunjukkan ia berkemungkinan besar dibeli menggunakan tunai sepenuhnya.
Projek Arcadia Signature yang siap dibina pada Mei 2023 terdiri daripada 8 unit kediaman mewah, dari tingkat bawah tanah 2 hingga tingkat 4, merangkumi 6 unit biasa dan 2 unit penthouse. Kawasan ini mempunyai laluan masuk persendirian, mengurangkan pendedahan kepada orang luar, serta sistem keselamatan yang ketat, menjadikannya pilihan utama selebriti.
Unit kediaman bergaya 'Natural Terrace' yang dibeli oleh Momo ini mempunyai 3 bilik tidur, 1 bilik kajian, 3 bilik air, serta dilengkapi taman peribadi dan menawarkan pemandangan Sungai Han serta Gunung Acha.
Sebelum ini, beberapa selebriti lain turut dilaporkan membeli kediaman di projek sama. Pelakon Han So-hee membeli sebuah unit penthouse berkeluasan 203 meter persegi pada Ogos tahun lalu dengan harga RM20 juta (5.24 bilion won). Nana, bekas anggota kumpulan After School, turut membeli unit berkeluasan sama dengan Momo pada Mac lalu, berharga RM16 juta (4.2 bilion won), menjadikan mereka jiran. Pasangan pelakon Hyun Bin dan Son Ye-jin, penyanyi Park Jin-young, serta pelakon Oh Yeon-seo juga dilaporkan mendiami kawasan tersebut.
Momo memulakan kerjayanya pada tahun 2015 bersama TWICE di bawah naungan JYP Entertainment, dan terkenal dengan pelbagai lagu hits seperti 'Cheer Up', 'TT', 'Fancy'. Pada tahun 2023, beliau bersama rakan segrupnya dari Jepun, Mina dan Sana, telah aktif sebagai unit MISAMO.
Peminat di Korea Selatan nyata teruja dan mengucapkan tahniah kepada Momo atas kejayaan membeli hartanah mewah ini. Ramai yang memuji usaha kerasnya dan menyifatkan kejayaan itu sebagai inspirasi. Ada juga yang bergurau tentang rasa 'cemburu' melihat kejayaan Momo dan tidak sabar untuk melihat kediaman barunya kelak.