
Penyanyi Sung Si-kyung Rugi Akibat Pengurus Dipercayai Sejak 10 Tahun Lalu
Penyanyi popular Sung Si-kyung dilaporkan mengalami kerugian kewangan gara-gara pengurusnya yang telah berkhidmat selama 10 tahun.
Menurut laporan, individu dikenali sebagai A yang merupakan pengurus peribadi Sung Si-kyung didakwa melakukan tindakan yang mencurigakan ketika menjalankan tugasnya, sehingga mendatangkan kerugian bukan sahaja kepada penyanyi itu sendiri, malah pihak-pihak lain serta kontraktor luar.
Syarikat pengurusan Sung Si-kyung, SK Jae Won, dalam satu kenyataan rasmi pada 3 Ogos mengesahkan: "Kami mendapati bekas pengurus Sung Si-kyung telah melakukan tindakan yang mencemarkan kepercayaan syarikat sepanjang tempoh perkhidmatannya."
"Melalui siasatan dalaman, kami menyedari betapa seriusnya perkara ini dan kini sedang dalam proses mengesahkan jumlah kerugian sebenar. Kakitangan terbabit kini sudah meletakkan jawatan," jelas kenyataan itu.
SK Jae Won turut memohon maaf kepada peminat atas kegelisahan yang ditimbulkan. "Kami amat kesal atas tanggungjawab pengurusan dan penyeliaan, dan sedang dalam proses menyemak semula sistem pengurusan dalaman bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang lagi."
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa terkejut dan simpati terhadap Sung Si-kyung. Ramai yang mengkritik tindakan pengurus tersebut yang sanggup mengkhianati kepercayaan yang diberikan selama sedekad, sambil mendoakan agar penyanyi itu tabah menghadapi dugaan ini.