
Peminat 'terpana' lihat Hyomin bekas ahli T-ara 'kembali ke masa lalu' dengan foto klasik kalahkan AI
Hyomin, bekas ahli kumpulan K-pop T-ara, sekali lagi mencuri tumpuan peminat apabila menyemarakkan semula nostalgia dengan mendedahkan foto lamanya yang berusia lebih 10 tahun, mempamerkan kecantikan yang seolah-olah membeku dalam masa, malah mengatasi imej 'dewi musim sejuk' yang dihasilkan AI.
Pada 3 Mac lalu, Hyomin memuat naik beberapa keping gambar di akaun media sosial peribadinya beserta kapsyen "Gambar musim sejuk AI versi realiti.. sejak 2012". Foto-foto tersebut dirakam di Switzerland pada tahun 2012. Dalam gambar, Hyomin kelihatan dengan wajah muda yang comel, mengenakan skirt panjang beropol merah berpetak tartan, jaket berwarna biru laut, dan selendang merah menyala, berlatarkan salji putih bersih sambil tersenyum ceria.
Satu adegan yang paling menarik perhatian adalah ketika beliau berdiri di atas landasan keretapi di sebuah stesen, merentangkan kedua tangannya seolah-olah babak daripada filem romantik remaja klasik, mempamerkan visual yang memukau.
Hyomin, yang memulakan kerjaya pada tahun 2009 bersama T-ara dan meraih populariti menerusi lagu-lagu hit seperti ‘Roly-Poly’ dan ‘Bo Peep Bo Peep’, masih aktif dalam industri hiburan. Pada bulan April lalu, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan yang bukan dari kalangan selebriti. Walaupun sudah berkahwin, beliau terus mencabar diri dalam pelbagai bidang, termasuk menjadi model iklan dan perniagaan minuman.
Netizen Korea rata-rata memuji kecantikan Hyomin yang tidak lapuk dek zaman. Antara komen yang ditinggalkan adalah: "Benar-benar kelihatan muda semula", "Gambar sangat cantik, macam keluar dari filem" dan "Tak sangka gambar lama boleh secantik ini".