
YouTuber 'Sanghaegi' Muncul Kembali Selepas 40 Hari, Minta Maaf Kesalahan Pemanduan Mabuk Kali Ketiga
Selepas hampir 40 hari menyepi diri, YouTuber popular yang terkenal dengan video makan, Sanghaegi (nama sebenar: Kwon Sang-hyuk), akhirnya tampil menundukkan kepalanya.
Sanghaegi sebelum ini dilaporkan terlibat dalam kes memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI) dan enggan menjalani ujian saringan sebanyak tiga kali, sekali gus menghentikan aktivitinya.
Beliau memuat naik satu kenyataan permohonan maaf ringkas menerusi saluran YouTube miliknya, bermula dengan "Saya amat menyesal kerana tidak berkata apa-apa untuk tempoh yang lama". Beliau menjelaskan sebab beliau senyap adalah kerana "Saya berasa bersalah dan takut, serta tidak tahu bagaimana untuk memulakan percakapan apabila memikirkan orang yang pernah percaya kepada saya".
Beliau menambah, "Saya telah meluangkan banyak masa bersendirian untuk merenung diri saya. Saya menyesali setiap hari betapa salahnya tindakan saya, dan betapa ramai orang yang telah saya lukai."
Insiden tersebut berlaku pada 23 September lalu di Gangnam, Seoul, di mana Sanghaegi ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan cuba melarikan diri daripada ujian saringan alkohol polis.
Masalahnya, ini bukan kali pertama Sanghaegi berdepan dengan masalah pemanduan mabuk. Beliau sebelum ini pernah dijatuhi hukuman kerana kesalahan serupa pada tahun 2020 dan 2021.
Pada Jun 2020, beliau didenda 2 juta won atas kesalahan DUI. Hanya setahun kemudian, pada Mei 2021, beliau sekali lagi ditahan memandu sejauh kira-kira 12 km dalam keadaan mabuk, dengan kandungan alkohol dalam darah mencecah 0.091%, iaitu paras yang menyebabkan lesen memandunya dibatalkan. Mahkamah Daerah Barat Seoul menjatuhkan hukuman denda RM10,000 (atau 10 juta won) ke atasnya pada Ogos 2022. Namun, beliau kembali melakukan kesalahan sama buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun.
Sanghaegi memulakan kerjayanya sebagai BJ (Broadcast Jockey) di AfreecaTV pada tahun 2018 dan mengendalikan saluran YouTube sejak 2019, seterusnya menjadi YouTuber yang disegani. Beliau juga seorang usahawan yang melancarkan jenama kentang goreng dan mempunyai kira-kira 30 cawangan di seluruh negara. Pada tahun 2020, beliau pernah terlibat dalam kontroversi "iklan tersembunyi" di YouTube dan pernah mengeluarkan kenyataan maaf.
Netizen Korea meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap tindakan berulang Sanghaegi. Ramai yang meninggalkan komen seperti, "Betul ke dia menyesal? Ini kali ketiga tau", dan "Senyap tiba-tiba lepas tu minta maaf macam ni, nampak tak ikhlas langsung."