
Momen Manis Lee Kang-in & Kekasih Park Sang-hyo Terbongkar di Paris
Pemain bola sepak kebangsaan Korea Selatan, Lee Kang-in, sekali lagi menjadi tumpuan peminat global apabila momen manisnya bersama teman wanita, Park Sang-hyo, seorang pewaris generasi ke-5 keluarga Doosan, tersebar di media sosial.
Momen tersebut dirakam oleh seorang peminat asing di Paris, Perancis, ketika Lee Kang-in dan Park Sang-hyo keluar dari sebuah kedai jam tangan mewah.
Dalam video yang tular itu, kedua-duanya kelihatan berjalan keluar dari kedai dengan mesra. Namun, apabila menyedari kehadiran peminat yang merakam, mereka dilihat sedikit menjaga jarak.
Lee Kang-in kemudiannya kelihatan merapati Park Sang-hyo semula dan mereka berjalan bersama menuju ke kereta Ferrari milik pemain bola sepak itu, dengan kawalan daripada pengawal peribadi.
Walaupun sempat memberi isyarat tangan kepada peminat, Lee Kang-in dilihat sentiasa peka agar teman wanitanya tidak berasa tidak selesa. Dia turut membuka pintu penumpang untuk Park Sang-hyo sebelum memandu pergi.
Khabar angin mengenai hubungan mereka mula timbul pada tahun lalu. Difahamkan, mereka bertemu kali pertama di Paris, dan adik perempuan Lee Kang-in dikatakan menjadi orang tengah. Adik Lee Kang-in mengenali Park Sang-hyo yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana di sebuah komuniti warga Korea di Paris sebelum hubungan mereka berkembang.
Park Sang-hyo, yang lahir pada 1999, merupakan anak perempuan kepada Park Jin-won, Naib Pengerusi Doosan Bobcat Korea. Beliau dua tahun lebih tua daripada Lee Kang-in, telah menamatkan pengajian di Universiti Cornell dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Perancis.
Walaupun pihak Lee Kang-in tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung khabar angin tersebut, namun pasangan ini dilaporkan sudah dianggap sebagai pasangan kekasih rasmi dalam kalangan kenalan mereka. Malah, rakan-rakan rapat Lee Kang-in turut mengikuti akaun Instagram Park Sang-hyo.
Pada bulan Jun tahun lalu, Lee Kang-in, Park Sang-hyo dan adik perempuan Lee Kang-in turut dilihat menonton perlawanan besbol di Stadium Jamsil.
Selain itu, pada bulan Mei lalu, Park Sang-hyo turut kelihatan meraikan kemenangan pasukan Paris Saint-Germain (PSG) yang disertai Lee Kang-in dalam perlawanan akhir Piala Perancis, bersama keluarga.
Dalam pada itu, kedua-dua mereka juga dilihat bersama di tempat duduk penonton Kejohanan Tenis Grand Slam Terbuka Perancis di Paris pada tempoh yang sama, sekali gus mengukuhkan lagi dakwaan hubungan mereka yang sudah diketahui umum.
Netizen Korea Selatan rata-rata teruja dan memberikan ucapan tahniah atas hubungan pasangan ini. Ramai yang memuji Lee Kang-in sebagai individu yang prihatin dan sangat mengambil berat terhadap teman wanitanya, menunjukkan sifat gentleman yang sebenar.