
Pelakon Lee Si-young Sambut Kelahiran Anak Kedua, Dedah Wajah Si Manja
Berita gembira buat peminat pelakon popular, Lee Si-young! Beliau kini selamat melahirkan cahaya mata kedua, seorang bayi perempuan yang comel.
Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya pada 5 Oktober, Lee Si-young meluahkan rasa terharu dengan menyatakan, "Saya anggap dia sebagai hadiah daripada Tuhan untuk saya, dan saya akan pastikan Jeong-yun serta 'Sik-sik-i' (nama panggilan anak kedua) hidup bahagia selamanya." Beliau turut menitipkan ucapan terima kasih yang mendalam buat Profesor Won Hye-seong.
Dalam gambar yang dikongsikan, Lee Si-young kelihatan memakai baju hospital dan pelitup muka sambil mendukung erat bayi perempuan kesayangannya.
Sebelum ini, pada Julai lalu, Lee Si-young ada mengumumkan berita kehamilannya. Beliau menjelaskan sebab beliau memilih untuk berkongsi lebih awal: "Saya rasa lebih baik untuk mengelakkan sebarang salah faham dan spekulasi yang mungkin timbul."
Beliau turut mendedahkan, "Saya berusaha untuk mendapatkan anak kedua melalui proses rawatan kesuburan IVF (In Vitro Fertilisation) sepanjang perkahwinan saya. Namun, pada mulanya, saya memilih untuk membekukan embrio tanpa melakukan pemindahan."
"Apabila tarikh akhir untuk embrio beku semakin hampir, saya membuat keputusan sendiri untuk meneruskan pemindahan embrio," tambahnya. Lee Si-young juga menyatakan, "Walaupun pihak sebelah tidak bersetuju, saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan yang saya buat."
Untuk rekod, Lee Si-young berkahwin dengan seorang ahli perniagaan bidang makanan pada tahun 2017 dan dikurniakan anak lelaki sulung, Jeong-yun, pada tahun 2018. Namun, selepas mengumumkan berita perceraian pada Mac lalu, beliau mengejutkan ramai dengan berita kehamilan anak kedua hanya empat bulan kemudian.
Netizen Korea Selatan rata-rata mengucapkan tahniah kepada Lee Si-young. Ada yang meninggalkan komen seperti, "Tahniah! Semoga sentiasa bahagia." Manakala yang lain pula berkata, "Sungguh ibu yang kuat! Semoga anak perempuanmu sihat dan comel."