
MC Jeon Hyun-moo Sambut Hari Lahir Dengan Derma RM100 Juta Won
Hos terkenal Korea Selatan, Jeon Hyun-moo, meraikan hari lahirnya tahun ini dengan cara yang sangat bermakna apabila mendermakan 100 juta won (kira-kira RM350,000) kepada Pusat Perubatan Universiti Yonsei (Yonsei University Health System).
Menerusi agensinya, SM C&C, pada 7 Mei, dana yang disalurkan itu akan digunakan untuk membantu kos rawatan pesakit yang memerlukan bantuan kewangan. Sumbangan ini difokuskan khas kepada kanak-kanak yang menghidapi kanser dan penyakit jarang ditemui, serta bantuan perubatan untuk golongan belia yang sedang bersiap sedia untuk berdikari.
Jeon Hyun-moo sememangnya dikenali dengan sumbangan berterusan. Beliau pernah menderma 100 juta won kepada komuniti ibu tunggal pada tahun 2018 dan menyertai 'Seoul Fruit of Love Honor Society'. Sejak itu, beliau terus menyumbang kepada pelbagai badan kebajikan.
Di samping itu, walaupun mempunyai jadual yang padat, beliau turut menjadi contoh teladan dalam aktiviti khidmat masyarakat. Dengan kecintaannya terhadap haiwan, beliau telah terlibat secara sukarela dalam menjaga anjing terbiar di pelbagai pusat perlindungan selama bertahun-tahun dan tidak lupa menyokong kos rawatan haiwan tersebut.
Tindakan mulia Jeon Hyun-moo ini, yang menunjukkan rasa penghargaan dan keinginan untuk membalas segala kebaikan yang diterima, adalah contoh pengaruh positif yang sebenar. Usaha beliau dalam menyebarkan kebaikan sempena hari lahirnya menjadikan sambutan itu lebih bermakna.
Rata-rata netizen Korea memuji tindakan Jeon Hyun-moo dengan komen seperti "Hari lahir Encik Hyun-moo tahun ini sangat menyentuh hati" dan "Beliau adalah contoh terbaik untuk semua, semoga Encik Hyun-moo sentiasa gembira."