
Kelucuan 'Shin Gyeong-ru', 'Huh Gyeong-hwan' dan 'Seo Beom-jun' bakal gegarkan 'Amazing Saturday'
Bersiap sedia untuk ketawa berdekah-dekah di tvN ‘Amazing Saturday’ (놀라운 토요일) minggu ini dengan kemunculan pelawak 'Shin Gyeong-ru' (신기루), 'Huh Gyeong-hwan' (허경환) dan pelakon 'Seo Beom-jun' (서범준) sebagai tetamu istimwa.
'Shin Gyeong-ru' dijadualkan bakal mempamerkan penangan jenakanya yang bersahaja, malah menyamakan 'Moon Se-yoon' (문세윤) sebagai 'kembar seirasnya'. Dia juga diramal akan berbalas 'serangan' dengan 'Taeyeon' (태연) yang pasti akan mengundang tawa luar biasa daripada penonton.
Sementara itu, 'Huh Gyeong-hwan' bakal memperkenalkan slogan baharu yang telah dirancangnya khas untuk rancangan ini. Walaupun mendapat reaksi dingin daripada barisan pelakon lain yang menyifatkan gayanya seperti komedi era 80-an, dia tetap berkeras mempertahankan slogannya. Apabila diminta untuk menggunakan jenaka lain, dia merengek, "Sudah lama tidak muncul, boleh tak jangan buat macam ni?" menambahkan lagi momen kelucuan.
Bagi 'Seo Beom-jun', ini merupakan penampilan pertamanya di 'Amazing Saturday' dan dia kelihatan agak gementar. Namun, dia bersedia mendedahkan satu episod mengejutkan tentang sahabat baiknya, 'Key' (키), yang pasti akan menggemparkan studio sejak dari awal rancangan.
Permainan pembuka selera bertemakan 'Enam Hati Satu Jiwa – Sokongan Suara' yang menguji kerjasama sepasukan, bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan 'Unbalanced' yang dibarisi oleh pelawak dan pasukan 'Balanced' yang terdiri daripada penyanyi dan rapper.
Pasukan 'Unbalanced' akan menunjukkan keserasian yang mantap seperti mana pelawak profesional, malah mempersembahkan lakonan sketsa. Manakala pasukan 'Balanced' pula, hampir sahaja menghancurkan ikatan persahabatan yang terjalin akibat kesilapan yang tidak dijangka, namun berjaya bangkit semula. Kedua-dua pasukan akan terus bersaing sengit sehingga sukar untuk menentukan pemenang.
Tambahan lagi, strategi pertempuran dan taktik penuh muslihat daripada kedua-dua pasukan yang saling bersaing, dijangka bakal menjadi punca gelak tawa.
Seterusnya, dalam permainan utama, para ahli 'Doremi' akan bersatu semula dan menunjukkan kepakaran mereka. Walaupun cabaran yang diberikan agak sukar, 'Shin Dong-yeop' (신동엽) berjaya menganalisis lirik dengan tajam, dibantu oleh 'Moon Se-yoon', 'Taeyeon', 'Key', dan 'Huh Gyeong-hwan' yang memberikan ramalan tepat.
Permainan pencuci mulut, 'Kuiz Istilah Baru/Lama' juga menjanjikan pelbagai bentuk keseronokan. Terutamanya apabila ahli pasukan 'Unbalanced', yang mempamerkan keharmonian yang erat dalam permainan pembuka selera, bakal berentap sesama sendiri dalam situasi tegang. Dikatakan mereka berjaya menampilkan naluri pelawak mereka walaupun dalam keadaan genting, membuatkan penonton semakin tidak sabar untuk menyaksikan siaran langsung.
Siri varieti hujung minggu tvN, ‘Amazing Saturday’, disiarkan setiap Sabtu jam 7:40 malam waktu tempatan.
Netizen Korea meluahkan keterujaan mereka terhadap barisan tetamu kali ini, dengan komen seperti "Pasti kelakar! Tak sabar nak tengok" dan "Dengan barisan tetamu ini, tahu dah memang akan seronok. Jumpa Sabtu ini!".