
HyunA Pengsan Di Pentas 'Waterbomb 2025' Macau, Peminat Bimbang Kesihatan
Satu insiden mengejutkan berlaku di festival 'Waterbomb 2025' di Macau apabila penyanyi sensasi HyunA (현아) tiba-tiba rebah dan pengsan ketika sedang membuat persembahan lagu popularnya 'Bubble Pop'.
Kejadian berlaku pada 9 Mei di Outdoor Performance Venue di Macau. Ketika HyunA sedang rancak membuat persembahan, beliau tiba-tiba kehilangan tenaga dan jatuh ke lantai. Para penari latar terpaksa menghentikan persembahan serta-merta untuk memeriksa keadaannya sebelum pihak keselamatan naik ke pentas untuk mendukungnya keluar.
Sebelum itu, HyunA ada memuat naik status di media sosial pada 4 Mei lalu yang berbunyi, "Perjalanan dari titik akhir ke barisan hadapan sungguh sukar. Masih jauh lagi. Entah apa yang saya makan selama ini. Kim Hyun-ah (김현아)" berserta gambar yang mengesahkan berat badannya 49kg.
Selepas tular mengenai kenaikan berat badan sejak berkahwin dengan Yong Jun-hyung (용준형), HyunA telah mengumumkan rancangan diet bulan lalu. Perkara ini menimbulkan spekulasi bahawa diet yang terlalu ekstrem tanpa kawalan pemakanan mungkin telah menyebabkan kekurangan nutrisi, yang akhirnya membawa kepada insiden pengsan di atas pentas.
Terbaharu, HyunA tampil memohon maaf kepada peminat dan pihak yang terlibat menerusi media sosial selepas keadaan stabil, "Saya sungguh-sungguh memohon maaf. Walaupun tempohnya singkat selepas persembahan terakhir, saya mahu menunjukkan yang terbaik tetapi saya rasa ia tidak profesional. Sejujurnya, saya tidak ingat apa-apa." Beliau menambah, "Selepas ini, saya akan cuba meningkatkan kecergasan fizikal dan akan berusaha dengan gigih dan tekun. Alangkah baiknya jika segalanya mengikut kehendak saya, tetapi saya akan cuba sedaya upaya."
Netizen Korea meluahkan rasa bimbang yang mendalam terhadap HyunA. Ramai yang meninggalkan komen seperti, "HyunA, fighting! Semoga cepat sembuh.", "Jangan terlalu kuat buat diet, kami sangat risaukan kesihatan awak."