
Bintang 'Thirst' Kim Ok-vin Bergelar Isteri November Ini, Kongsi Perasaan Gembira
Pelakon terkenal Kim Ok-vin (Kim Ok-bin) bakal menamatkan zaman daranya pada bulan November ini apabila beliau mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pasangannya yang bukan dari kalangan selebriti. Majlis perkahwinan tertutup itu dijadualkan berlangsung pada 16 November di sebuah lokasi di Seoul.
Menerusi perkongsian di media sosial sehari sebelum majlis, pada 15 November, Kim Ok-vin meluahkan rasa terharunya. "Saya akan berkahwin esok. Saya rasa agak malu untuk bercerita, tetapi saya fikir adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong kerjaya saya selama 20 tahun."
Beliau turut menyifatkan calon suaminya sebagai individu yang "sangat baik hati dan penyayang, sentiasa membuatkan saya ketawa apabila berada di sisinya." Tambahnya, "Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membina masa depan kami bersama."
Berita perkahwinan Kim Ok-vin mula tersebar bulan lalu. Pihak agensi, Ghost Studio, memaklumkan, "Calon suami merupakan individu bukan selebriti dan majlis perkahwinan akan diadakan secara tertutup, hanya dihadiri oleh ahli keluarga serta kenalan rapat."
Kim Ok-vin memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2005 menerusi filem 'The Ghost Voice 4'. Beliau kemudiannya membintangi pelbagai filem popular seperti 'The Cut', 'Thirst', serta drama bersiri antaranya 'Over the Rainbow' dan 'War of Money: Bonus Round'.
Netizen Korea rata-rata meluahkan rasa terkejut dan gembira dengan berita perkahwinan Kim Ok-vin. Mereka meninggalkan komen seperti, "Tahniah diucapkan!" dan "Semoga bahagia selalu!". Ramai yang mendoakan kebahagiaan beliau dalam fasa kehidupan yang baru.