
Nana (bekas ahli After School) dan ibunya terselamat dari rompakan bersenjata di rumah
Khabar mengejutkan! Pelakon Nana, atau nama sebenarnya Im Jin-ah, bekas ahli kumpulan K-pop popular After School, dan ibunya dilaporkan selamat daripada kejadian samun bersenjata di kediaman mereka pada awal pagi tadi (15 Mei).
Menurut agensi Sublime, "Pada awal pagi hari ini, telah berlaku satu insiden di mana seorang perompak bersenjatakan pisau menceroboh kediaman Nana. Situasi ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan serius kepada Nana dan ibunya."
Agensi tersebut menambah, "Akibat serangan fizikal oleh suspek, ibu Nana mengalami kecederaan parah sehingga pengsan, manakala Nana sendiri turut cedera ketika cuba melarikan diri dari situasi cemas itu. Kedua-dua mereka kini dilaporkan sedang menerima rawatan dan memerlukan rehat mutlak."
Polis daerah Guri dilaporkan telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun, dikenali sebagai A, atas tuduhan cubaan samun bersenjata dan kini sedang disoal siasat.
Sejurus berita ini tersebar, peminat kedua-dua beranak ini membanjiri media sosial dengan ucapan sokongan dan doa agar mereka cepat sembuh. Komen seperti "Semoga awak dan ibu awak sihat selalu" dan "Cepat sembuh ye" turut kelihatan.