
Nana Nyaris Menjadi Mangsa Samun Di Kediamannya Sendiri, Suspek Ditahan Polis
Penyanyi dan pelakon popular, Nana (nama sebenar Im Jin-ah), hampir sahaja menjadi mangsa kejadian samun apabila seorang lelaki berusia 30-an bertindak menceroboh kediamannya di bandar Guri. Mujur, Nana dan ibunya berjaya melawan sehingga suspek berjaya ditahan oleh pihak polis.
Menurut laporan, kejadian berlaku pada awal pagi 15 haribulan lalu. Lelaki yang dikenali sebagai Encik A itu dipercayai menggunakan tangga untuk memanjat masuk melalui balkoni rumah Nana. Setelah berjaya membuka pintu yang tidak berkunci, dia mengacukan senjata tajam ke arah Nana dan ibunya sambil menuntut wang dan barang berharga.
Bagaimanapun, Nana dan ibunya tidak gentar. Mereka berdua bertindak melawan Encik A menggunakan tangan kosong. Kejayaan mereka berdua memegang lengan suspek telah memberi peluang untuk menghubungi pihak polis dengan segera. Dalam insiden tersebut, Encik A mengalami kecederaan di bahagian dagu, manakala Nana dan ibunya turut mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan.
Semasa siasatan, Encik A mendakwa dia tidak menyedari rumah itu dihuni oleh seorang selebriti dan tindakannya itu adalah kerana kekurangan wang untuk perbelanjaan. Pihak polis mengesahkan Encik A tidak mempunyai pekerjaan dan motif jenayahnya bukanlah kerana dia seorang 'sasaeng fan' atau obses dengan mana-mana artis.
Pada mulanya, Encik A didakwa atas kesalahan cubaan samun bersenjata. Namun, selepas menerima laporan perubatan daripada ibu Nana, pertuduhan diubah kepada cubaan samun bersenjata beserta kecederaan. Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Encik A atas faktor risiko melarikan diri.
Polis kini sedang meneliti sama ada tindakan Nana dan ibunya boleh diklasifikasikan sebagai mempertahankan diri yang sah.
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa terkejut dan lega "Syukurlah Nana dan ibunya selamat." "Sangat berani mereka berdua!" "Kena lebih berhati-hati mulai sekarang."