
Pelakon Komedi Kim Soo-yong Pengsan Saat Penggambaran, Diberi CPR Kecemasan!
Industri hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan berita mengenai pelakon komedi terkenal, Kim Soo-yong, yang dilaporkan pengsan ketika sedang menjalani penggambaran sebuah kandungan YouTube di Gapyeong pada petang 14 haribulan lalu.
Kejadian itu menyebabkan rakan-rakan artis dan kru produksi yang berada di lokasi panik. Tindakan pertolongan cemas segera diberikan di tempat kejadian sebelum pihak paramedik tiba dan menjalankan prosedur bantuan pernafasan jantung (CPR) sebelum beliau dikejarkan ke Hospital Universiti Hanyang Guri.
Rakan pelawak, Yoon Suk-joo, menerusi laman sosialnya meluahkan rasa terkejut mendengar berita itu dan segera menghubungi Kim Soo-yong. Beliau menerima balasan jenaka khas Kim Soo-yong yang menyatakan, "Nasib baik tak mati. Mati hidup balik.", yang turut melegakan rakan-rakannya.
Agensi Kim Soo-yong, Media Lab Siso, dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan keadaan pelakon itu. "Kim Soo-yong kini sedang menerima rawatan dan telah sedar sepenuhnya. Keadaannya stabil dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan beliau pulih dengan segera."
Insiden ini pastinya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat, namun mereka turut berasa lega mengetahui pelawak kesayangan mereka kini berada dalam keadaan selamat dan kembali bersemangat.
Netizen Korea Selatan rata-rata meluahkan rasa terkejut dan menitipkan ucapan semoga cepat sembuh buat Kim Soo-yong. Komen yang sering kelihatan adalah: "Seriau betul! Semoga Kim Soo-yong cepat pulih sepenuhnya" dan "Syukur dia selamat. Kami sentiasa menyokong awak."