
Legenda Filem Hong Kong, Chow Yun-fat dan Michelle Yeoh, Bakal Gemparkan '2025 MAMA AWARDS' di Hong Kong!
Anugerah muzik K-POP terkemuka dunia, '2025 MAMA AWARDS', sekali lagi mengumumkan barisan bintang tambahan yang bakal memeriahkan majlis penganugerahan yang telah berlangsung selama 26 tahun ini. Acara yang dinanti-nantikan ini bakal diadakan pada 28 dan 29 November di Stadium Kai Tak, Hong Kong.
Perkara paling menarik perhatian peminat global ialah pengesahan kehadiran Chow Yun-fat (周潤發), pelakon legenda Hong Kong yang terkenal di seluruh dunia menerusi filem-filem klasik seperti 'Crouching Tiger, Hidden Dragon' dan 'A Better Tomorrow'. Dengan karisma unik dan daya tarikannya yang merentasi generasi, beliau sentiasa berjaya meninggalkan impak mendalam kepada penonton.
Turut mengiringi beliau di pentas adalah Michelle Yeoh (楊紫瓊), pelakon wanita Asia pertama yang memenangi Anugerah Akademi Oscar bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Beliau akan bertindak sebagai penyampai global untuk Chapter 1. Kehadiran kedua-dua bintang legenda ini pastinya menjadi tumpuan utama.
Seorang wakil daripada CJ ENM menyatakan, "Kehadiran Chow Yun-fat dan Michelle Yeoh, ikon budaya Asia yang dikagumi seluruh dunia, dijangka akan mewujudkan satu perkongsian istimewa yang melangkaui sempadan genre K-POP dan K-CONTENTS."
Sebelum ini, '2025 MAMA AWARDS' telah mengumumkan senarai penyampai anugerah yang terdiri daripada personaliti terkemuka yang telah menerajui trend dan meraih populariti sepanjang tahun 2025. Antaranya ialah Go Yoon-jung, Noh Sang-hyun, Noh Yoon-seo, Park Hyung-sik, Shin Seung-hun, Shin Ye-eun, Shin Hyun-ji, Arden Cho, Ahn Eun-jin, Ahn Hyo-seop, Lee Kwang-soo, Lee Do-hyun, Lee Soo-hyuk, Lee Jun-young, Lee Jun-hyuk, Im Si-wan, Jang Do-yeon, Jeon Yeo-been, Jo Se-ho, Jo Yuri, Jo Han-gyeol, Joo Ji-hoon, Cha Joo-young, Choi Dae-hoon, dan Hyeri (mengikut abjad). Mereka adalah antara individu yang telah melonjakkan K-CONTENTS ke persada dunia, bintang yang menyerlah dalam bidang hiburan, serta ikon yang memiliki 'DNA K-POP'.
Dengan tambahan Chow Yun-fat dan Michelle Yeoh, senarai penyampai anugerah '2025 MAMA AWARDS' tahun ini kini lengkap dengan 27 personaliti.
Selain itu, Yeonjun daripada kumpulan TXT turut tersenarai sebagai salah seorang artis persembahan. Selepas mencuri tumpuan menerusi persembahan pembukaan yang mengagumkan bersama robot di '2024 MAMA AWARDS' tahun lalu, dan baru-baru ini membuktikan pengaruh globalnya apabila album solo pertamanya berjaya menduduki tempat ke-10 dalam carta Billboard 200, Yeonjun bakal membuat persembahan perdana lagu 'Talk to You' dan 'Coma' dari album terbaharunya di '2025 MAMA AWARDS'.
'2025 MAMA AWARDS' bakal ditaja oleh Visa sebagai penaja utama. Ia akan berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 28 dan 29 November di Stadium Kai Tak, Hong Kong, hab mega acara di Asia. Penyiaran langsung global akan turut disediakan melalui pelbagai platform digital termasuk Mnet Plus, membolehkan peminat K-POP di seluruh dunia menonton acara ini secara serentak.
Rata-rata netizen Korea meluahkan rasa teruja dengan pengumuman kehadiran dua legenda filem Hong Kong itu. Komen seperti 'Memang tak boleh dilepaskan!', 'Ini baru betul-betul gempak, MAMA tahun ini lain macam!' turut tular di media sosial.