
Pelakon Nana Tumpaskan Perompak Bersenjata Di Rumah, Peguam Nasihati Jangan Melawan
Pelakon Nana dan ibunya dilaporkan berjaya menumpaskan seorang perompak bersenjata yang menceroboh kediaman mereka di Guri, Gyeonggi pada awal pagi 15hb.
Suspek lelaki berusia 30-an, dikenali sebagai Encik A, dipercayai masuk ke dalam rumah Nana dengan membawa senjata tajam dan cuba merampas barang berharga. Nana dan ibunya bertindak pantas melawan suspek sehingga berjaya menahannya sebelum menghubungi pihak polis.
Dalam kejadian tersebut, Nana dan ibunya mengalami kecederaan namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan. Suspek A telah ditahan di lokasi kejadian.
Peguam Park Sung-bae ketika dihubungi YTN pada 17hb berkata, "Kes di mana seorang wanita berjaya menumpaskan perompak bersenjata adalah sangat luar biasa." Beliau menambah, "Nana dan ibunya bertindak balas secara proaktif dalam situasi yang sangat berbahaya."
Walaupun Nana difahamkan mempunyai tauliah seni mempertahankan diri tahap 4, peguam Park tetap menasihatkan, "Dalam keadaan biasa, kami tidak menggalakkan mangsa untuk melawan perompak secara langsung."
Mengenai aspek undang-undang, beliau menjelaskan, "Pencerobohan kediaman dengan niat merompak menggunakan senjata jelas merupakan cubaan rompakan bersenjata."
"Jika mangsa cedera semasa pergelutan, kemungkinan besar tertuduh akan didakwa dengan kesalahan mencederakan mangsa semasa melakukan rompakan, dan mungkin berdepan hukuman berat."
Menurut polis, Encik A tidak mengenali Nana dan mendakwa tidak tahu rumah itu dihuni oleh seorang selebriti. Motif jenayah dikatakan kerana kekurangan wang.
Pada 16hb, mahkamah daerah mengeluarkan waran tangkap ke atas Encik A atas "risiko melarikan diri".
Rata-rata netizen Korea kagum dengan keberanian Nana dan ibunya. Komen seperti "Memang hebat!", "Cantik dan berani betul!", "Semoga cepat sembuh" turut menjadi tumpuan.