
SANTOS BRAVOS: Kumpulan K-Pop Mexico Tercipta Dengan 'Metodologi K-Pop' Sedia Gempak Pentas Global
HYBE, agensi di sebalik kumpulan sensasi seperti BTS dan NewJeans, terus melebarkan sayapnya ke persada antarabangsa. Selepas kejayaan KATSEYE di Amerika Syarikat dan &TEAM di Jepun, kini giliran Mexico pula melahirkan kumpulan idola K-Pop mereka yang tersendiri, iaitu SANTOS BRAVOS.
Dibimbing melalui "metodologi K-Pop", kumpulan lelaki ini terdiri daripada lima anggota iaitu Drew, Alejandro, Caue, Gabi, dan Kenneth. Mereka lahir dari program uji bakat realiti "Pase a la Fama" kendalian HYBE Latin America. Debut mereka tidak kurang hebatnya apabila mereka mengadakan konsert sulung di venue berkapasiti 10,000 penonton yang kesemua tiketnya habis terjual!
SANTOS BRAVOS digambarkan sebagai kumpulan "idol type" yang lengkap dari segi vokal, persembahan tarian, dan visual. Mereka berjaya menggabungkan tenaga ceria, emosi yang membara, dan kehangatan budaya Latin dengan sistem produksi K-Pop yang canggih. Kombinasi unik ini meletakkan mereka sebagai calon kuat untuk menjadi "global super rookie" yang seterusnya.
Para anggota meluahkan rasa bangga dan syukur pada saat-saat debut mereka. Mereka turut berkongsi bagaimana pengalaman menjalani uji bakat tersebut telah mematangkan diri mereka, meningkatkan keyakinan diri, disiplin, serta mengasah kemahiran kepimpinan dan penerimaan pendapat orang lain.
Mereka turut terkesan dengan latihan K-Pop yang begitu teliti, menitikberatkan setiap gerakan dan ekspresi wajah, serta latihan tanpa henti sehingga mencapai kesempurnaan. Penekanan terhadap kerja berpasukan juga menjadi aspek penting. Dalam pada itu, mereka turut menjadikan artis seperti J Balvin, BTS, dan Rosalía sebagai idola dan inspirasi.
Hasrat terbesar SANTOS BRAVOS adalah untuk menjadi artis yang memberi inspirasi kepada generasi akan datang, serta menjadi jambatan budaya antara Amerika Latin dan dunia. Mereka berharap satu hari nanti dapat melihat peminat menyanyikan lagu mereka dalam bahasa Sepanyol di stadium-stadium mega.
"Setiap komen dan sokongan anda telah membawa kami ke tahap ini. Kami harap anda semua berasa bangga dengan kami. Ini baru permulaan, masih banyak lagi yang akan kami tunjukkan, jadi teruslah bersama kami!" demikian pesanan mereka kepada para peminat.
Netizen Korea meninggalkan komen positif seperti "Ini membuktikan K-Pop benar-benar boleh disesuaikan dengan pelbagai budaya!" dan "Harap mereka berjaya macam BTS dan TXT, mari kita nantikan!".