
Kim Woo-bin Umumkan Perkahwinan Dengan Shin Min-ah Melalui Surat Tulisan Tangan, Majlis Disempurnakan Disember Ini!
Berita gembira datang dari pelakon popular Kim Woo-bin yang mengumumkan bakal menamatkan zaman dudanya dengan kekasih hati, Shin Min-ah, melalui satu surat tulisan tangan.
Pada petang 20 Disember, Kim Woo-bin telah menulis satu surat khas buat peminatnya di kafe peminat rasminya bagi menyampaikan berita gembira ini.
Beliau memulakan suratnya, "Hari ini, saya ingin menyampaikan berita ini terlebih dahulu kepada anda semua, 'Woorin' (nama kelab peminat Kim Woo-bin) yang sentiasa memberikan kasih sayang dan sokongan yang tiada henti kepada saya yang serba kekurangan ini."
"Ya, saya akan berkahwin. Saya bercadang untuk membina sebuah keluarga bersama teman wanita yang telah lama saya cintai, dan kami akan berjalan bersama di masa hadapan. Saya amat menghargai jika anda semua dapat memberikan sokongan agar perjalanan kami menjadi lebih hangat," luahnya.
Syarikat pengurusan mereka, AM Entertainment, turut mengeluarkan kenyataan rasmi. "Shin Min-ah dan Kim Woo-bin telah berjanji untuk menjadi pasangan hidup. Majlis perkahwinan mereka akan diadakan pada 20 Disember di sebuah lokasi di Seoul, secara tertutup hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat."
Kim Woo-bin dan Shin Min-ah yang telah menjalinkan hubungan cinta sejak tahun 2015, terkenal sebagai pasangan selebriti paling lama bertahan dalam industri hiburan Korea. Hubungan mereka semakin erat terutamanya ketika Kim Woo-bin didiagnosis menghidap kanser nasofaring pada Mei 2017, di mana Shin Min-ah sentiasa berada di sisinya.
Netizen Korea rata-rata meluahkan rasa gembira dan ucapan tahniah. Antara komen yang ditinggalkan adalah, "Akhirnya berita gembira ini sampai juga!", "Tahniah kepada kedua-dua pasangan mempelai!", "Pasangan yang sungguh sempurna dan kuat."