
Selamat Pengantin Baharu! Lee Jang-woo & Jo Hye-won Sah Bergelar Suami Isteri Selepas 6 Tahun Bercinta
Berita gembira dari dunia hiburan Korea! Pelakon Lee Jang-woo (38 tahun) dan pelakon Jo Hye-won (30 tahun) telah selamat diijabkabulkan pada majlis pernikahan yang berlangsung hari ini, 25 Mei 2024, di Lotte Hotel World, Seoul.
Upacara pernikahan yang meriah itu diadakan dalam suasana yang tenang dan hangat, dihadiri oleh keluarga, saudara-mara, dan rakan-rakan terdekat. Momen-momen indah dari majlis tersebut turut dikongsikan di media sosial, menarik perhatian ramai peminat.
Pengacara majlis disempurnakan oleh pelukis webtoon dan personaliti TV, Kian84, manakala hos popular Jun Hyun-moo bertindak sebagai juru nikah.
Satu lagi kejutan istimewa adalah persembahan lagu 'Sea Of Love' oleh Hwanghee daripada kumpulan Fly to the Sky, yang juga sepupu kepada pengantin lelaki, menambahkan lagi suasana syahdu. Pelakon teater muzikal Min Woo-hyuk dan Han Ji-sang turut naik ke pentas bagi meraikan pasangan mempelai.
Lee Jang-woo tampil segak mengenakan tuksedo hitam, manakala pengantin perempuan, Jo Hye-won, kelihatan anggun dan menawan dalam gaun halter neck sutera berwarna putih, lengkap dengan veil panjang dan senyuman manis, mencipta detik yang romantis umpama dalam filem.
Lee Jang-woo dan Jo Hye-won mula menjalinkan hubungan cinta selepas bekerjasama dalam drama KBS2 'My Only One' pada tahun 2018. Berjaya mengharungi perbezaan usia 8 tahun, pasangan ini telah bersama selama 6 tahun sebelum akhirnya memutuskan untuk mendirikan rumah tangga.
Difahamkan, pasangan ini sepatutnya melangsungkan pernikahan tahun lalu namun terpaksa ditunda kerana jadual Lee Jang-woo yang padat dengan program hiburan "I Live Alone" di MBC, menjadikan majlis pernikahan kali ini lebih bermakna.
Rata-rata netizen Korea mengucapkan tahniah kepada pasangan ini. Ramai yang memuji hubungan cinta mereka yang utuh selama 6 tahun dan mendoakan kebahagiaan mereka. "Tahniah! Semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat!" dan "Nampak begitu mesra, harap dapat lihat mereka bersama dalam program lagi!".