
Pelakon Jin Seo-yeon Pernah Bergelar 'Ratu Jualan Online' Dengan Pendapatan RM150,000 Sebulan Sebelum Jadi Pelakon
Pelakon Jin Seo-yeon mengejutkan ramai apabila mendedahkan sisi lain kehidupannya dalam rancangan 'Sikgaek Heo Yeong-man's Delicious Journey' terbitan TV Chosun baru-baru ini.
Setelah 7 tahun bergelar pelakon, Jin Seo-yeon mula mendapat perhatian menerusi watak 'Bo-ryeong', seorang pengedar dadah dalam filem 'Believer'.
Menjawab pertanyaan mengenai zaman lalunya yang kurang dikenali, Jin Seo-yeon mendedahkan bahawa dia pernah menguruskan sebuah pusat beli-belah dalam talian ketika di universiti. Dia mengaku, "Perniagaan saya sangat berjaya, saya mampu meraih pendapatan sehingga 40 juta won (kira-kira RM150,000) sebulan."
Namun, walaupun meraih keuntungan lumayan, dia merasakan dirinya tidak bahagia. "Saya tidak mahu mencari rezeki dengan cara ini," ujarnya. Dia kemudiannya membuat keputusan drastik untuk meninggalkan perniagaan yang menguntungkan itu demi mengejar impian dalam bidang lakonan, walaupun bayaran setiap episod hanya 500,000 won. Baginya, kebahagiaan berada di set penggambaran adalah lebih penting.
Jin Seo-yeon turut berkongsi pengalamannya bekerja dengan Kim Hee-sun dan Han Hye-jin dalam drama 'No Tomorrow', malah sempat memuji kecantikan Han Hye-jin. Dia juga tidak terlepas memuji penampilan fizikal hos program, Heo Yeong-man.
Rata-rata netizen Korea kagum dengan pilihan kerjaya Jin Seo-yeon: "Hebatnya! Keputusannya memilih lakonan adalah tepat sekali" dan "Pendapatan RM150,000 sebulan itu bukan calang-calang, tapi dia tetap utamakan apa yang disukainya."