
Pengarah Hollywood Terkenal Rob Reiner & Isteri Ditemui Meninggal Dunia, Anak Lelaki Didakwa Bunuh
Dunia perfileman Hollywood digemparkan dengan berita tragis mengenai kematian pengarah terkenal, Rob Reiner (78 tahun) dan isterinya, Michele Reiner, yang ditemui meninggal dunia di kediaman mereka di Los Angeles.
Menurut laporan media antarabangsa, termasuk Daily Mail, kejadian mengejutkan ini ditemui oleh anak perempuan mereka, Romi Reiner, selepas juru urut yang dijadualkan untuk bertemu Rob Reiner gagal menghubunginya di rumah.
Difahamkan, sehari sebelum kejadian, pasangan Reiner telah menghadiri parti Krismas anjuran hos terkenal, Conan O'Brien, bersama anak lelaki mereka, Nick Reiner (32 tahun). Saksi mata mendakwa berlaku pertengkaran hebat antara ahli keluarga pada majlis tersebut, yang turut disedari oleh tetamu lain.
Pasangan itu dilaporkan meninggalkan majlis parti tersebut lebih awal selepas pertengkaran itu.
Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat kes ini sebagai insiden bunuh yang disyaki mempunyai unsur jenayah, dan sedang meneliti kemungkinan konflik dalaman keluarga sebagai punca.
Media asing turut menyoroti sejarah Nick Reiner yang dilaporkan bergelut dengan masalah ketagihan dadah dan kesihatan mental selama bertahun-tahun, di mana keluarga pernah berkongsi secara terbuka mengenai kesukaran tersebut.
Sumber memberitahu People bahawa Nick Reiner menunjukkan tingkah laku yang tidak stabil dan membimbangkan di parti itu, malah dilihat bertanya kepada tetamu lain sama ada mereka seorang selebriti.
Nick Reiner kini telah ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh. Dia dilaporkan ditahan tanpa ikat jamin. Pihak berkuasa bagaimanapun masih belum mendedahkan motif atau butiran lanjut mengenai kejadian tersebut.
Rob Reiner adalah figura ikonik Hollywood, bertanggungjawab di atas karya-karya klasik seperti "Stand by Me", "Misery", "When Harry Met Sally...", dan "This Is Spinal Tap". Pemergiannya yang tiba-tiba mendapat ucapan takziah daripada rakan-rakan industri, tokoh politik dan budaya.
Keluarga Reiner dilaporkan memohon ruang privasi dalam suasana duka ini.
Netizen Korea meluahkan rasa terkejut dan sedih atas berita ini. Ramai yang menyuarakan rasa simpati terhadap tragedi yang menimpa keluarga Reiner dan mempersoalkan punca kejadian, selain mendoakan agar roh mendiang dicucuri rahmat.