
Pasangan Pelawak Hong Yun-hwa & Kim Min-ki Luah Cabaran Perniagaan Bar Otak-otak
Pasangan selebriti komedi Hong Yun-hwa dan Kim Min-ki berkongsi perkembangan terkini mengenai perniagaan yang mereka ceburi. Pasangan ini telah membuka sebuah bar otak-otak kecil di kawasan Mangwon-dong yang menjadi kegemaran mereka.
Hong Yun-hwa berkongsi, "Kami langsung tidak tahu betapa sukarnya dan mencabarnya untuk menjalankan perniagaan sendiri sebelum ini." Beliau menjelaskan bahawa kedai mereka menawarkan makanan enak seperti otak-otak yang digemari suaminya, serta pelbagai jenis snek lain yang turut diminatinya. Walaupun mempunyai kru yang membantu, penyediaan asas dan pengurusan awal masih diuruskan oleh pasangan ini.
Setelah beroperasi selama kira-kira 4-5 bulan sejak Julai, kedua-dua mereka mengakui bahawa perniagaan ini bukanlah mudah. Terutama bagi Hong Yun-hwa yang sedang menjalani diet, mengawal berat badan menjadi lebih sukar apabila pelanggan yang datang sangat menyukai mereka dan sering membawakan kek, pastri, atau buah-buahan bermusim ke kedai. Beliau berasa serba salah untuk menolak pemberian tersebut.
Kim Min-ki menambah dengan cerita lucu: "Pernah sekali, semasa saya sedang bekerja, penghantar barang datang. Saya tanya mereka datang untuk apa, rupanya pelanggan memesan pizza untuk Yun-hwa kerana melihatnya kelihatan penat." Beliau meluahkan rasa terima kasih atas perhatian pelanggan yang sering membawakan hasil istimewa dari kawasan mereka.
Hong Yun-hwa bangga berkongsi bahawa kedai mereka telah menjadi "hot spot" yang menarik pelanggan dari seluruh negara, malah dari luar negara juga. Baru-baru ini, pasangan Korea yang menetap di Kanada singgah ke kedai mereka sejurus selepas pulang ke Korea. Beliau juga menceritakan pembahagian tugas di dapur: "Kebiasaannya saya mengendalikan bahagian dapur utama manakala suami saya menguruskan bahagian pelanggan. Tetapi apabila perlu, dia akan membantu di dapur."
Perkara yang mengejutkan ialah Kim Min-ki berkata: "Kami menetapkan bahawa kedai hanya dibuka apabila kami berdua ada di sana." Ini membuatkan ramai terkejut mendengarnya. Apabila ditanya mengenai persiapan, Hong Yun-hwa mengakui mereka telah membuat tinjauan, tetapi hanya fokus pada aspek seperti makanan enak, lokasi yang baik dan jumlah pelanggan. Mereka terlepas pandang perkara penting seperti kos pembinaan, sistem elektrik, dan peralatan dapur, yang hanya disedari kemudian, menyebabkan beberapa kali perlu membuat pengubahsuaian.
Kim Min-ki teringat semula detik cemas pada hari pertama pembukaan: "Bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba. Mujurlah pelanggan menyangkakannya sebahagian daripada acara istimewa lalu bersorak. Apabila lampu dihidupkan semula, mereka bersorak lagi. Apabila terpadam lagi, mereka tetap bersorak. Manakala kami pula berpeluh-peluh."
Lee Kwang-ki berpendapat mungkin kapasiti meter elektrik tidak mencukupi. Hong Yun-hwa menjawab: "Kami langsung tidak tahu bahawa kami perlu bersedia untuk perkara seperti ini. Kami hanya berfikir bahawa kedai makan memerlukan makanan enak, kebersihan dan bahan-bahan yang baik sudah cukup."
Lee Kwang-ki sempat bergurau bahawa mungkin saluran pembetungan pernah tersumbat. Hong Yun-hwa menjawab: "Belum lagi."
Rata-rata netizen Korea meninggalkan komen-komen positif dan sokongan buat pasangan ini: "Pasangan ini nampak begitu berdedikasi", "Semoga perniagaan mereka maju jaya", "Saya sentiasa menyokong anda!", "Sangat kagum dengan usaha mereka."