
ALPHA DRIVE ONE Lancar Treler Debut 'EUPHORIA', Memukau Peminat K-Pop Global
Kumpulan K-Pop lelaki baharu ALPHA DRIVE ONE (ALD1), yang bakal mencipta fenomena global, telah membuka tirai dunia sinematik mereka yang tersendiri.
Pada tengah malam tadi (16 Disember), ALPHA DRIVE ONE yang dianggotai oleh Rio, Jun-seo, Arno, Gun-woo, Sang-won, Xinlong, Anshin, dan Sang-hyun, telah melancarkan video treler 'Film by Raw Flame' untuk mini album pertama mereka, 'EUPHORIA', yang dijadualkan bakal berada di pasaran pada jam 6 petang, 12 Januari kelak, menerusi laman media sosial rasmi mereka, sekali gus menerima sambutan hangat daripada peminat antarabangsa.
Video treler debut sulung ini dibahagikan kepada tiga babak, yang secara berperingkat menggambarkan perubahan emosi dan naratif para anggota. Dalam babak pertama, 'no flame', para anggota menunjukkan ekspresi kegelisahan dan kekeliruan menerusi imej mereka yang kelihatan cedera di bahagian muka dan tangan, diiringi narasi "nyalaan api yang hilang".
Babak kedua, 'no frame', diserikan dengan rentak muzik yang menghentak, memaparkan adegan para anggota berlari laju untuk mencari semula api, sekali gus meningkatkan tahap ketegangan. Akhirnya, adegan kesemua lapan anggota berjaya mendapatkan semula api telah membangkitkan suasana romantik, mendapat pujian yang melambung daripada peminat di seluruh dunia.
Babak terakhir, 'raw flame', pula memaparkan kesemua lapan anggota berkumpul dengan gembira setelah melalui kegelapan dan menyambut fajar. Narasi yang kedengaran, "Kini kami bersatu sebagai satu nyalaan api" dan "Permulaan kami, pagi pertama di mana segalanya bermula", mengimbau kembali naratif sebenar para anggota yang akhirnya bersatu sebagai satu pasukan untuk menghadapi detik 'debut' setelah penantian yang panjang, sekaligus menimbulkan rasa ingin tahu mengenai kisah ALPHA DRIVE ONE yang bakal terungkai kelak.
Treler debut ini merupakan gabungan sinematik yang padat dengan dunia dan cerita kumpulan. Lakonan penuh emosi yang julung kali dipersembahkan oleh para anggota, narasi yang tulus ikhlas, serta visual yang menonjol telah bersatu padu memberikan pengalaman yang cukup mendalam. Malah, ia turut berjaya menzahirkan 'aura romantik energetik' yang dimiliki ALPHA DRIVE ONE melalui visualnya, meningkatkan lagi kualiti treler dan membangkitkan rasa ingin tahu terhadap perkembangan dunia kumpulan ini di masa hadapan.
Naratif ALPHA DRIVE ONE yang sebelum ini menimbulkan rasa ingin tahu menerusi teaser yang telah dikeluarkan, kini mula dikembangkan secara rasmi melalui treler ini, menarik perhatian peminat global. Teknik arahan yang sensitif dan penceritaan yang meninggalkan kesan mendalam telah merangsang imaginasi peminat, serta meningkatkan lagi jangkaan terhadap mini album pertama mereka, 'EUPHORIA'.
Mini album pertama 'EUPHORIA' akan merangkumkan detik di mana perjalanan lapan anggota yang mengejar impian mengikut cara tersendiri, akhirnya menemui penyempurnaan sebagai satu pasukan. Kumpulan ini bakal menyampaikan perasaan permulaan dan kegembiraan yang meluap-luap (EUPHORIA) selepas penantian panjang, menerusi tenaga dan naratif khas ALPHA DRIVE ONE.
Dalam pada itu, ALPHA DRIVE ONE yang telah memulakan langkah mereka menuju puncak K-Pop global, telah menerima sokongan hebat daripada peminat antarabangsa sejak sebelum debut rasmi lagi. Single pra-debut mereka, 'FORMULA', berjaya menduduki carta teratas di pelbagai carta muzik domestik dan antarabangsa. ALPHA DRIVE ONE dijadualkan untuk debut rasmi menerusi mini album 'EUPHORIA' pada 12 Januari.
Netizen Korea meluahkan rasa teruja terhadap dunia konsep yang didedahkan, dengan komen seperti 'Penantian tidak sia-sia!' dan 'Visual sangat mantap, tak sabar nak tengok debut penuh!'.