
Penyanyi Yoon Bo-mi (Apink) Sah Berkahwin Dengan Penerbit Rado Selepas 9 Tahun
Berita gembira buat peminat kumpulan K-pop Apink! Yoon Bo-mi atau lebih mesra disapa Bomi mengumumkan bahawa dia bakal menamatkan zaman gadisnya dengan teman lelaki, Rado, seorang penerbit muzik yang telah menjalin hubungan dengannya selama 9 tahun.
Pengumuman itu dibuat menerusi sepucuk surat tulisan tangan yang dikongsikan Bomi di kafe peminat Apink. "Saya berasa amat bersalah kerana berita ini sampai kepada anda melalui laporan berita secara tiba-tiba," tulisnya.
Bomi turut meluahkan rasa bimbang sekiranya peminat berasa terkejut atau sedikit kecewa, terutamanya apabila kumpulan itu bakal melancarkan album baharu selepas tiga tahun. "Walau bagaimanapun, saya rasa adalah penting untuk saya memberitahu anda, Panda yang sangat saya sayangi, secara langsung dari hati saya," tambahnya.
Beliau yang kini berusia 33 tahun mendedahkan bahawa dia telah membuat keputusan untuk hidup bersama seseorang yang telah berkongsi suka duka dan menjalani hari-hari bersamanya sejak sekian lama. "Saya telah memutuskan untuk menghabiskan sisa hidup saya bersama orang ini," katanya.
Bomi berjanji akan terus berusaha memberikan yang terbaik sebagai ahli Apink dan juga sebagai Yoon Bo-mi. "Saya akan terus hidup dengan lebih kuat dan bertanggungjawab di tempat saya. Dan saya akan membalas cinta anda melalui aktiviti yang lebih baik sebagai Apink dan sebagai Yoon Bo-mi," katanya.
Pasangan ini dikatakan mula mengenali antara satu sama lain pada tahun 2016 ketika Rado terlibat dalam penerbitan album penuh ketiga Apink dan mula bercinta pada tahun 2017.
Netizen Korea Selatan membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah buat Yoon Bo-mi. Ramai yang terkejut tetapi turut gembira dengan perkhabaran baik ini. "Tahniah Bomi! Semoga bahagia selalu."