
Shin Ji (COYOTE) Sebak Settlekan Rumah Baharu Menjelang Perkahwinan
Penyanyi Shin Ji dari kumpulan COYOTE, menarik perhatian ramai apabila berkongsi momennya ketika sedang mengemas rumah baharu yang bakal didiaminya bersama tunang, Moon Won. Menerusi video di saluran YouTube '어떤신지?!?', Shin Ji meluahkan rasa sebak melihat kelengkapan rumah tangga yang dihadiahkan oleh ibu dan kakaknya.
"Pindah rumah dah tak lama, rasa macam terkejar masa," ujar Shin Ji. "Paling menyentuh hati bila ibu dan kakak belikan semua pinggan mangkuk. Rasanya macam mereka ada di sini. Terus rasa lain macam. Lepas tu, baru terfikir, akhirnya ini rumah saya, tak perlu pindah lagi. Boleh buat apa saja nak tebuk dinding," katanya sambil menahan sebak. Dia turut meluahkan rasa gembira kerana dapat menghiasi kediamannya mengikut citarasa sendiri dan berkongsi hidup bersama insan tersayang.
Shin Ji merancang untuk menjadikan tingkat tiga sebagai bilik komputer dan membiarkannya diuruskan sepenuhnya oleh tunangnya. "Dia mungkin akan banyak habiskan masa di tingkat tiga. Bilik tu ada pintu sendiri, jadi saya dah beli radio komunikasi untuk kami," katanya, menzahirkan rasa sayang terhadap bakal suaminya. Sebelum ini, Shin Ji pernah berkongsi kisah pertemuannya dengan Moon Won, yang lebih muda daripadanya, dalam program '4인용식탁' di Channel A. Pertemuan awal mereka adalah melalui siaran radio, dan hubungan mula terjalin selepas Moon Won menyatakan hasrat untuk membuat 'cover' lagu nyanyian Shin Ji.
Shin Ji memulakan kerjaya muziknya sebagai vokalis utama kumpulan COYOTE pada tahun 1998, salah satu kumpulan ikonik Korea Selatan. Beliau terkenal dengan vokal yang mantap dan persembahan yang bertenaga. Selain aktif dalam bidang muzik, Shin Ji juga sering muncul dalam pelbagai program televisyen dan radio sebagai tetamu jemputan atau pengacara.