
ATEEZ Umumkan Tarikh Jelajah 'IN YOUR FANTASY' di Asia & Australia
Sensasi K-pop, ATEEZ, mengumumkan tarikh terbaharu untuk jelajah dunia mereka 'IN YOUR FANTASY' yang bakal menggemparkan Asia dan Australia. KQ Entertainment secara rasmi mendedahkan poster jelajah tersebut pada 8 Jun, mengesahkan bandar-bandar yang akan dilawati oleh kumpulan sensasi ini.
Jelajah yang dinanti-nantikan ini akan bermula pada 24 Januari 2026 di Taipei, diikuti oleh Jakarta pada 31 Januari. Kembara diteruskan ke Singapura pada 22 Februari, sebelum singgah di Melbourne (3 Mac) dan Sydney (6 Mac) di Australia. Selepas itu, ATEEZ akan beraksi di Manila (14 Mac), Kuala Lumpur (22 Mac), Macau (28 Mac), dan diakhiri di Bangkok pada 4 April.
Satu perkara yang menarik perhatian adalah Jakarta, Kuala Lumpur, dan Macau akan menjadi tuan rumah konsert solo sulung ATEEZ di bandar-bandar ini, sekaligus menjanjikan sambutan hangat daripada peminat yang telah lama menantikan kehadiran mereka. Peminat di Australia juga pastinya teruja dengan kepulangan kumpulan ini, yang pernah berkunjung ke Melbourne dan Sydney semasa 'The Expedition Tour' pada tahun 2019, menjadikan kepulangan kali ini selepas enam tahun tujuh bulan lebih istimewa.
Selepas kejayaan jelajah Amerika Utara, ATEEZ juga dijadualkan mengadakan persembahan di Saitama (13-15 November), Nagoya (20-21 November), dan Kobe (22-23 Oktober) di Jepun. Peminat boleh menjangkakan persembahan yang memukau menerusi lagu-lagu hit ATEEZ dan persembahan solo unik yang pasti menghidupkan suasana 'fantasy' seperti tajuk jelajah mereka. Tambahan lagi, pada 17 November, mereka akan melancarkan album penuh Jepun kedua bertajuk 'Ashes to Light', berserta showcase khas.
ATEEZ ialah kumpulan lelaki yang dianggotai lapan orang di bawah KQ Entertainment, terkenal dengan persembahan bertenaga dan konsep yang tersendiri.
Mereka memulakan kerjaya pada 24 Oktober 2018 dengan aspirasi untuk mewakili 'A TEEnager Z', merangkumi semua aspek kehidupan remaja.
Kumpulan ini telah menarik ramai peminat global dan diiktiraf secara meluas sebagai 'master persembahan' dalam industri K-pop.