
Kim Ha-young 'The Surprise' Sah Jadi Isteri Orang, Nikah Dengan Bekas Penyanyi Park Sang-joon
Pelakon Kim Ha-young, yang terkenal dengan gelaran 'pengantin profesional' hasil lakonan perkahwinannya yang tak terhitung jumlahnya dalam rancangan 'The Mysterious TV Surprise' di MBC, akhirnya akan menamatkan zaman daranya hari ini, 13 Julai.
Kim Ha-young akan melangsungkan majlis perkahwinannya dengan Park Sang-joon, bekas penyanyi yang kini beralih kerjaya sebagai jurulatih vokal, di sebuah lokasi di Seoul. Majlis indah ini akan dihadiri dan diberkati oleh keluarga, sanak-saudara, serta rakan-rakan kedua-dua belah pihak.
Park Sang-joon memulakan kerjaya muziknya pada tahun 2008 bersama kumpulan T.G.S. dan kini aktif sebagai jurulatih vokal yang disegani. Hubungan mereka, yang telah terjalin serius sejak kira-kira dua tahun lalu, diumumkan kepada umum tahun lepas dengan niat untuk berkahwin, sekali gus meraih pelbagai ucapan tahniah.
Kim Ha-young sendiri berkongsi berita gembira itu bulan lalu dengan penuh keterujaan: “Selepas ratusan kali 'berkahwin' dalam 'The Surprise', akhirnya saya benar-benar akan berkahwin.” Ujarnya lagi, “Saya akan menghargai dan mencintai jodoh berharga ini yang ditemui setelah perjalanan panjang, dan akan hidup bahagia selamanya.” Peminat-peminatnya kini turut mendoakan yang terbaik buatnya sempena babak baru dalam hidupnya.
Kim Ha-young memulakan karier lakonannya pada tahun 1999 sebagai pelakon teater. Beliau mula mendapat perhatian ramai pada tahun 2004 menerusi peranannya dalam 'The Mysterious TV Surprise' di MBC. Watak pengantin yang sering dilakonkannya dalam program tersebut telah memberikannya gelaran 'pengantin profesional'.