
ZEROBASEONE Kembali Serang Jepun Dengan Special EP 'ICONIC'
Kumpulan sensasi ZEROBASEONE (ZB1) bakal menggemparkan Jepun sekali lagi dengan pelancaran Special EP terbaharu mereka, 'ICONIC'.
EP istimewa ini dijadualkan untuk dilancarkan pada 29 Oktober jam 12 tengah malam waktu Jepun. Ia akan menampilkan lagu 'ICONIC', 'SLAM DUNK', dan versi bahasa Jepun bagi lagu tajuk 'BLUE' daripada mini album kelima 'BLUE PARADISE', memberikan peminat pelbagai citarasa muzik ZB1.
Lagu 'ICONIC', yang berkongsi nama dengan lagu tajuk album penuh pertama mereka 'NEVER SAY NEVER' yang dikeluarkan di Korea Selatan, melambangkan identiti dan karisma kumpulan yang tersendiri. Ia membawa mesej kuat bahawa 'kita boleh menjadi individu yang ikonik dengan bangga, tanpa mengira penilaian orang lain'.
Album fizikal 'ICONIC' akan hadir dalam 10 edisi berbeza, termasuk satu edisi biasa dan sembilan edisi solo. Setiap album disertakan dengan buku lirik 12 muka surat dan photocard rawak edisi terhad, memberikan keterujaan tambahan buat para peminat yang gemar mengumpul barangan eksklusif.
ZB1 telah mencapai kejayaan luar biasa di Jepun sejak debut mereka. Single pertama, 'YURA YURA -運命の花-', berjaya mencapai status 'Half Million Seller' hanya dalam tempoh seminggu selepas pelancaran. Mereka terus membuktikan populariti mereka dengan EP pertama, 'PREZENT', yang menduduki tempat pertama dalam carta Oricon Weekly Album Ranking dan Weekly Combined Album Ranking pada Januari lalu. Kumpulan ini turut dianugerahkan 'Best New Artist' (Asia) di "The 39th Japan Gold Disc Awards", mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai antara artis K-Pop yang paling digilai di negara itu.
ZB1 terdiri daripada sembilan ahli: Sung Han-bin, Kim Ji-woong, Zhang Hao, Seok Matthew, Kim Tae-rae, Ricky, Kim Gyu-vin, Park Gun-wook, dan Han Yu-jin Mereka dikenali melalui program survival 'Boys Planet' pada tahun 2022 sebelum membuat debut rasmi pada Julai 2023 Kumpulan ini dengan pantas membina nama mereka dalam industri muzik K-Pop.