
Uhm Jung-hwa Curi Perhatian Dengan Penampilan Memukau Di Puglia, Itali
Pelakon dan penyanyi Uhm Jung-hwa (nama sebenar: Lee Ji-yeon) sekali lagi berjaya memukau ramai dengan visualnya yang masih bersinar dan karisma yang tiada tandingan.
Baru-baru ini, Uhm Jung-hwa telah berkongsi perkembangannya di Puglia, selatan Itali melalui media sosial peribadinya dengan kapsyen, "Sungguh aman damai."
Gambar beliau yang sedang menikmati suasana santai di atas kapal layar, lengkap dengan cermin mata hitam dan topi lebar, persis seperti sesi penggambaran sebuah majalah fesyen.
Terutamanya, pemakaian baju renang sehelai bermotifkan bunga yang menyerlahkan bentuk badannya yang ramping, mempamerkan aura 'diva' yang tidak pernah pudar.
Dalam foto yang dimuat naik, Uhm Jung-hwa kelihatan duduk bersebelahan seorang lelaki asing tampan sambil mereka minum wain dan berbual mesra, menarik perhatian ramai.
Beliau menunjukkan kehadiran yang luar biasa dengan senyuman anggun dalam suasana yang santai namun sofistikated.
Peminat telah membanjiri ruangan komen dengan pujian seperti, "Badan pakai baju renang memang mantap", "Diva bersinar walaupun sebelah jejaka kacak", "Kakak memang awet muda", "Sangat cantik", "Laut pun kalah bersinar dengan kakak", "Mamat kacak sebelah mesti rasa terancam", "Pada usia 56 tahun badannya begini", "Kakak langsung takde lemak" dan banyak lagi.
Kini, Uhm Jung-hwa sedang menerima banyak kasih sayang menerusi peranannya dalam drama 'Doctor Cha' yang bakal melabuhkan tirainya. Beliau sekali lagi bergandingan dengan Song Seung-heon, selepas filem 'Miss Wife'.
Uhm Jung-hwa adalah seorang penghibur veteran di Korea Selatan, diiktiraf kerana bakatnya dalam bidang muzik dan lakonan. Beliau memulakan kerjaya muziknya pada tahun 1993 dan terjun ke dunia lakonan pada tahun 1996. Peranannya dalam pelbagai genre sering mendapat pujian kritis.