
QWER nafi dakwaan 'ciplak' reka bentuk 'lightstick' The Boyz
Pihak QWER tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan bahawa reka bentuk 'lightstick' (batang penyokong) kumpulan itu mempunyai persamaan dengan milik The Boyz.
Pada 26 Mei, agensi QWER, Prismfilter Music Group dan 3Y Corporation, mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi akaun media sosial mereka bagi menyatakan pendirian berhubung isu kontroversi 'lightstick' tersebut.
"Kami ingin menegaskan bahawa 'lightstick' rasmi QWER yang baru sahaja dilancarkan tidak mempunyai sebarang masalah dari segi reka bentuk mahupun hak cipta. Pihak kami telah mendapatkan semakan dan pendapat daripada pakar-pakar berkaitan seperti peguam dan peguam cara paten beberapa kali, dan kami telah mengesahkan bahawa tiada sebarang masalah, termasuklah pelanggaran hak cipta," jelas agensi tersebut.
"Walaupun begitu, kami amat kesal kerana pihak One Hundred (agensi The Boyz), secara tiba-tiba mengumumkan tindakan undang-undang sedangkan perbincangan dan rundingan secara damai masih diteruskan. Kami mengambil peluang ini untuk mendengar pelbagai pandangan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan imej yang lebih baik kepada artis dan peminat pada masa hadapan."
QWER ialah kumpulan gadis yang memulakan kerjaya pada tahun 2023 di bawah agensi 3Y Corporation. Kumpulan ini terdiri daripada empat ahli: Shira-ha (bass), Maki (gitar), Chae-rim (vokalis utama), dan Hye-na (dram). Muzik mereka dicirikan oleh gabungan elemen rock dan K-Pop.